Selamat Hari Raya Aidiladha semua...
Tahun ini aku diberi kesempatan untuk menyambut raya bersama keluarga tersayang di Pelabuhan Klang. Nenek as head chef, seperti biasa menyediakan juadah-juadah istimewa untuk anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya. Untuk sarapan, kami menikmati hidangan nasi impit bersama kuah kacang, masak lodeh dan juga rendang ayam. Kemudian, nenek masak nasi beriani daging pula untuk makan tengahari bersama kuah dalca dan pecal. Sepupu aku turut menempah ayam KFC sebagai makanan tambahan. Amboi~ Ok, aku belanja gambar satu ye.
Kalau hendak diingatkan, ini ialah kali kedua aku berpeluang menyambut hari raya Aidiladha. Raya korban 2011, aku terpaksa oncall di wad pembedahan lelaki. Hmm, ada seorang pesakit meninggal dunia akibat serangan jantung kali kedua pada pagi itu. Raya korban 2012 pula aku bertugas di Fever Centre di Jabatan Kecemasan. Hmm, terpaksa menghadap jutaan manusia yang merayu mahukan MC. Tahun 2013 barulah dapat menikmati raya korban sebenar-benarnya.
Sememangnya meriah dan seronok bila bersama sanak-saudara. Namun, bila tiba raya korban, aku akan sentiasa teringat nostalgia 4 tahun lepas. Ye, 4 tahun lepas, ketika waktu raya korban, arwah ayah aku berada di hospital dan ketika itu, dia sudah hampir ke penghujung waktu. Rutin aku setiap pagi sepanjang 9 hari arwah ayah terlantar di hospital ialah memandikannya, menukar bajunya dan menyiapkan dirinya kerana arwah ayah sudah pun lumpuh di bahagian kanan anggota badannya 9 hari sebelum die meninggal dunia. Bayangkanlah perasaan ketika mendengar takbir sepanjang hari raya korban itu. Aku tidak boleh menggambarkan betapa hiba dan sayunya hati di kala itu. Lebih-lebih lagi apabila aku melihat air mata arwah ayah mengalir. Kebiasaannya, aku akan menangis di bilik air ketika mandi kerana aku tidak mahu mama dan ayah melihatnya. Tetapi, ada suatu ketika, aku tidak dapat menahan sebak apabila aku melihat Pak Lang menangis bersama arwah ayah.
Hanya mengenangkan sahaja peristiwa itu, mampu menitiskan air mataku.
Rindu ini pada arwah ayah hanya Allah sahaja yang tahu. Rindu ingin mendengar suara dan lawak jenakanya. Rindu ingin menatap wajah dan senyumannya. Rindu menggenggam tangannya dan berjalan bersama. Ayah tiada ganti. Dan dia tidak akan kembali.
Aku redha dengan ketentuan Illahi. Pasti ada hikmah di sebalik setiap ujian. Hidup harus diteruskan walau pada awalnya aku mengalami kesukaran. Satu yang aku pelajari, bahagia bermula dari dalam hati. Dari dalam diri. Orang lain atau benda boleh mempengaruhi kebahagian dan kegembiraan kita tetapi kitalah yang berkuasa menentukan sama ada kita mahu rasa bahagia atau terus hidup dalam kedukaan. Segala-galanya hanya dengan izin-Nya.
p/s: tengah-tengah tulis entry ini, tiba-tiba blackout pula.
No comments:
Post a Comment